Tuesday, November 29, 2011

KISAH JURAJI SEORANG AHLI IBADAH

 

 Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Pernah terdapat seorang ahli ibadah yang bernama Juraij. Beliau banyak beribadah sehingga didirikan sebuah biara untuknya, dan dia tinggal di dalamnya. Suatu ketika ibunya datang pada saat dia sedang mendirikan solat.

Ibunya memanggilnya: “Wahai Juraij!”

Juraij berkata dalam hatinya: “Wahai Tuhan, ibuku (memanggil) padahal aku bersolat.”

Juraij memilih untuk meneruskan solatnya sehingga ibunya pergi. Pada keesokan hari ibunya datang semula dan Juraij masih sedang bersolat.

Ibunya memanggilnya: “Wahai Juraij!”

Juraij berkata dalam hatinya: “Wahai Tuhan, ibuku (memanggil) padahal aku bersolat.”

Juraij memilih untuk meneruskan solatnya sehingga ibunya pergi. Pada keesokan hari ibunya datang semula (untuk kali ketiga) dan Juraij masih sedang bersolat.

Ibunya memanggilnya: “Wahai Juraij!”

Juraij berkata dalam hatinya: “Wahai Tuhan, ibuku (memanggil) padahal aku bersolat.”

Juraij memilih untuk meneruskan solatnya sehingga ibunya pergi. Lantas ibunya berdoa:

“Ya Allah! Janganlah Engkau matikan Juraij melainkan setelah dia melihat wajah-wajah pelacur!”

Sejak saat itu, kaum Bani Israil mula berbincang berkenaan Juraij dan ibadahnya. Ada seorang pelacur yang berdandan cantik berkata:

“Jika kalian kehendaki, aku akan menggodanya untuk kalian.”

Maka pelacur itu menawarkan diri kepada Juraij, tetapi Juraij sama sekali tidak mengendahkannya. Lalu pelacur tersebut mendatangi seorang pengembala kambing yang sedang berteduh di biara Juraij, menyerahkan diri kepadanya sehingga pengembala itu menyetubuhinya. Pelacur tersebut menjadi hamil. Ketika anak itu dilahirkan, pelacur tersebut mendakwa:

“Ini adalah anak Juraij.”

Maka orang ramai mendatangi Juraij, memaksanya keluar, menghancurkan biaranya dan memukulnya.

Juraij bertanya: “Kenapakah kalian melakukan semua ini?”

Mereka menjawab: “Engkau telah melacur dengan pelacur ini sehingga dia melahirkan anak kamu!”

Juraij bertanya: “Di manakah anak tersebut?”

Lalu bayi itu dibawa kepada Juraij. Dia berkata: “Biarkan aku, aku ingin bersolat terlebih dahulu.”

Maka Juraij bersolat. Setelah selesai, Juraij mendatangi bayi tersebut, memukul di perutnya, lalu bertanya:

“Wahai bayi, siapakah ayah kamu?”

Bayi itu menjawab: “Ayahku adalah seorang pengembala kambing.”

Tatkala mendengar jawapan tersebut, orang ramai kembali kepada Juraij, menyentuhnya dan menciumnya (kerana mereka telah bersalah dalam menuduhnya) dan berkata:

“Kami akan membangunkan semula biara kamu yang kami hancurkan dengan emas.”

Juraij menjawab: “Tidak, tetapi bangunkanlah ia dengan tanah sebagaimana asalnya.”[1]


Hadis di atas menunjukkan betapa besar kedudukan ibubapa ke atas seorang anak dan betapa pentingnya bagi seorang anak untuk berbuat baik kepada ibubapanya. Bayangkan, jika seorang anak yang sedang bersolat dianggap melakukan kesalahan kerana tidak mengendahkan hajat ibunya, bagaimana pula dengan kita yang sering leka mengejar kehidupan dunia sehingga tidak mengendahkan hajat ibubapa kita?

Melalui buku ini, saya akan cuba memaparkan ayat-ayat al-Qur’an serta hadis-hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang sahih berkenaan kedudukan ibubapa dan tuntutan berbuat baik kepada mereka. Kemudian disertakan juga keterangan lanjut tentang beberapa hukum fiqh yang berkaitan dengan berbuat baik kepada ibubapa serta cara mempraktikkannya, sama ada dalam kehidupan mereka atau setelah mereka meninggal dunia. Semua ini saya usahakan sebagai peringatan kepada diri saya sendiri dan para pembaca sekalian untuk menyedari akan betapa besarnya kedudukan ibubapa kita. Semoga dengan peringatan ini, kita akan lebih gigih dan sabar untuk berbuat baik kepada ibubapa kita.

Walaubagaimanapun ingin saya nyatakan awal-awal bahawa sebahagian daripada keterangan yang terkandung dalam buku ini mungkin agak berat untuk dipraktikkan. Berat bukan kerana Allah Subhanahu wa Ta‘ala membebankan sesuatu yang tidak mampu dipraktikkan oleh para hamba-Nya, tetapi berat kerana ia adalah sesuatu yang baru bagi kita dan mempraktikkannya memerlukan beberapa pengubahsuaian dalam cara pemikiran dan jadual kehidupan.

Semoga Allah memudahkan kita untuk mempraktikkan ayat-ayat-Nya serta hadis-hadis Rasul-Nya berkenaan kedudukan ibubapa dan tuntutan untuk berbuat baik kepada mereka.

 

[1] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya – hadis no: 2550 (Kitab al-Birr wa al-Shalah wa al-Adab, Bab mendahulukan kebaikan kepada ibubapa daripada solat sunat).

No comments:

Post a Comment