KOLAM AIR PANAS YANG TERDAPAT DI TAMAN INI
Ketika Bernama memaparkan wajah kawasan mata air panas di Air Panas di sini lebih setahun lepas, keadaannya amat menyedihkan kerana ia cuma kawasan lopak dan semak samun.
Pada masa itu, bilangan mata air panas yang mungkin mencecah 100, bertebaran di kawasan tebing dan dasar sungai dan cuma dapat disaksikan melalui gelembung-gelembung udara yang muncul di permukaan sungai.
Masyarakat Tawau sendiripun sudah hampir-hampir melupakan kewujudan mata air panas di sini kerana keadaannya yang terbiar.
Pengunjung ke kawasan ini boleh dikira dengan jari ketika itu, meskipun pada hujung minggu atau cuti umum, kerana tidak ada langsung daya tarikannya dan potensinya sebagai daya tarikan pelancong tidak dimajukan.
Sepatutnya kawasan mata air panas berkenaan menjadi tumpuan orang ramai kerana di Tawau tidak banyak lokasi semula jadi untuk berekreasi selain Taman Bukit Tawau dan Bukit Gemok. Pantai berpasirpun sukar dilihat di Tawau.
BERUBAH WAJAH
Bagaimanapun, keadaan mata air panas yang kini dinamakan Taman Rekreasi Air Panas berkenaan sudah berubah sama sekali selepas hampir setahun dimajukan sebuah syarikat swasta.
Malah sebaik tiba di pintu masuk taman, pengunjung boleh menyaksikan landskap bunga-bungaan yang tersusun rapi dan ada "ukiran" pohon renek tertulis "1Malaysia" dan "Hotspring" di kawasan tinggi taman itu.
"Kami mula membangunkan kawasan Taman Rekreasi Air Panas yang merangkumi kawasan seluas 16.2 hektar ini pada bulan Februari 2009. Kami melabur hampir RM1 juta untuk membangunkannya sebagai destinasi pelancongan.
"Jika semua perancangan berjalan lancar, taman ini akan dibuka kepada orang ramai pada Jun tahun ini," kata Soon Ten Fook, Pengurus Besar Rekobumi Sdn Bhd, pemaju taman rekreasi berkenaan.
Katanya pembukaan taman ini akan menyediakan ruang kepada pelancong dan pengunjung tempatan termasuk masyarakat Tawau sendiri untuk berekreasi di hujung minggu bersama keluarga.
TARIKAN UTAMA
Antara daya tarikan utama pengunjung ke taman yang jauhnya lapan kilometer dari bandar Tawau ini ialah penyediaan beberapa petak kolam air panas untuk pengunjung mandi atau merendam kaki mengikut cita rasa pengunjung sendiri.
Petak-petak kolam air panas berkenaan mempunyai kepanasan berbeza iaitu antara 30 hingga 60 darjah selsius dan sesuai untuk orang dewasa atau kanak-kanak berendam di dalamnya, yang dipercayai baik untuk kesihatan termasuk kulit.
"Pada masa ini, petak-petak kolam air panas yang siap dibina masih menjalani proses percubaan sebelum dibuka kepada orang ramai bagi memastikan ia benar-benar selamat untuk pengunjung," kata Soon.
Selain mandi air panas, pengunjung juga boleh menikmati kesegaran udara hutan kecil berhampiran yang diliputi dengan pokok kayu tropika selain pelbagai jenis bunga- bungaan yang indah.
Orang ramai juga boleh berjoging di trek joging yang disediakan dan jika terasa letih dan ingin berehat pengunjung, boleh singgah di lebih 20 pondok rehat yang disediakan.
BOLEH BERMALAM
Bagi pengunjung yang berminat tinggal semalaman di taman rekreasi berkenaan sambil menikmati kesunyian malam, pihak pengurusan taman itu juga akan membina chalet untuk memenuhi kehendak itu.
Untuk pihak yang ingin menganjurkan sebarang program rasmi seperti seminar, forum atau majlis-majlis lain, pemanju merancang membina sebuah dewan yang mampu menampung sehingga 400 orang pada satu-satu masa untuk tujuan itu.
Menurut Soon kemudahan asas lain seperti tandas, kantin dan restoran juga disediakan manakala bilik solat untuk pengunjung Islam akan dibina dalam fasa kedua.
"Kami bercadang untuk memasukkan taman ini di dalam peta produk pelancongan Perbadanan Pelancongan Sabah sebagai satu daripada destinasi pelancongan di Tawau. Kami berharap pelancong yang tiba dari mana-mana destinasi di Lapangan Terbang Tawau akan berkunjung ke taman ini.
"Jadi tidaklah seperti sekarang. Kebanyakan pelancong yang tiba cuma singgah di lapangan terbang dan terus ke Semporna untuk ke pulau-pulau peranginan di sana seperti Pulau Sipadan dan Mabul," katanya.
salam.. buka uda ka taman tema air panas ni? kakak ada contact num dia?
ReplyDelete