Friday, November 18, 2011

KITA BERSAUDARA


 DALAM sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda, maksudnya: �Hak seorang Islam terhadap seorang Islam yang lain adalah sebanyak enam perkara: Apabila engkau berjumpa hendaklah memberi salam kepadanya, apabila dia menjemput hendaklah diterima jemputannya itu, apabila dia minta nasihatmu maka nasihatilah dia, apabila dia bersin dan memuji Allah maka hendaklah engkau doakan pujian itu dengan berkata Yarhamkallah, apabila dia sakit lawatilah dan apabila dia meninggal dunia iringilah jenazahnya.�

Hadis ini menggariskan enam prinsip yang menjadi alat perhubungan kemasyarakatan dalam Islam. Enam perkara ini mudah untuk dilakukan oleh anggota masyarakat. Prinsipnya kita hidup perlu bertegur sapa; membuat kenduri kendara dengan menjemput orang ramai; memberi dan meminta pandangan atau fikiran; mendoakan orang sakit supaya cepat sembuh dan menziarahi serta mengiringi jenazah. Namun, ada yang beranggapan ia perkara remeh.

Jika dikaji, perkara yang remeh inilah yang orang sukar melakukannya kerana keegoan masing-masing. Yang pasti, melalui tindakan yang remeh inilah boleh memperlihatkan kejujuran, keikhlasan dan kesungguhan masyarakat sebagai tanda persaudaraan.

Ini bukannya bererti Islam mengabaikan suruhan lain seperti pembangunan negara, ekonomi dan pendidikan. Tidak ada percanggahan hadis ini dengan hal yang sebesar itu. Cuma hadis ini ingin menerangkan, Islam adalah hidup yang praktikal, yang lebih dulu menumpukan kepada suasana sekeliling masyarakat. Jadi, hadis ini menjelaskan bahawa perkara kecil yang dianggap remeh, sebenarnya lebih berkesan dalam menjalin dan mengukuhkan hubungan dalam masyarakat.

Perkara yang dianjurkan oleh hadis ialah:

Mengucap salam ketika berjumpa.

Salam di sini boleh diertikan dengan kesejahteraan atau kedamaian. Maka, secara tidak langsung ucapan salam seorang Muslim dengan orang yang lain adalah sebagai tanda kesejahteraan atau kedamaian.

Ini bererti, seorang telah mendoakan kesejahteraan orang lain dan apabila salam itu dijawab, maka ucapan sejahtera itu juga dipohon ke atas si pemberi salam tadi. Dengan kesejahteraan itu nanti akan wujudlah kedamaian dan kasih sayang antara mereka.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tarmizi, Abu Hurairah berkata bermaksud: �Demi Allah yang menjadikan aku dengan tangannya kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman dan kamu tidak akan beriman sehingga kamu berkasih sayang antara kamu. Mahukah kamu aku tunjukkan satu perkara yang jika kamu buat nescaya kamu akan berkasih sayang. Iaitu kamu memperluaskan salam antara kamu.�


Menerima jemputan.

Daripada hadis ini, kita dapat fahami bahawa hukum menerima jemputan orang yang membuat kenduri kahwin adalah wajib, sedangkan yang lain sunat saja. Ini dikuatkan oleh sebuah hadis yang diriwayatkan secara persetujuan ramai (muttafaqih alaih), daripada Ibn Umar yang bermaksud: �Kalau seseorang kamu dijemput ke suatu majlis kahwin hendaklah dia datang.� Ini adalah pendapat kebanyakan ulama fiqh. Malah pendapat ini dipersetujui juga oleh Imam Al-Syafie.

Al-Syafie mengatakan bahawa wajibnya orang Islam memenuhi jemputan kahwin dan beliau juga tidak membolehkan orang meninggalkan jemputan yang lain tanpa uzur yang diterima oleh syarak. Ini kerana sekiranya orang yang diundang itu tidak datang, ada dua anasir yang tidak diingini akan timbul. Pertama, orang yang dijemput itu tidak sukakan dan tidak mahu menyertai kegembiraan jiran atau sahabat handainya. Dengan kata lain, dia tidak mahu melihat orang atau sahabatnya berada dalam kegembiraan. Ini kerana dengan mengunjurkan kenduri kendara, sudah tentulah akan mewujudkan suasana kegembiraan dan bersuka ria.

Kedua, orang yang dijemput itu menggalakkan terbuangnya makanan yang disediakan tanpa sebab. Ini bererti menggalakkan sifat membazir dan sebenarnya undangan itu dibuat untuk mengelakkan berlakunya pembaziran.

Inilah sebabnya, mengapa umat Islam disuruh memenuhi undangan itu. Tujuannya supaya hati orang yang mengundang itu bertambah gembira kerana disukai jiran dan sahabat handai serta kerja yang dilakukan tidak terbuang begitu saja.


Memberi nasihat.

Hadis ini juga menggambarkan bahawa memberi nasihat adalah kewajipan apabila diminta dengan cara baik. Begitupun, nasihat tanpa diminta adalah suatu kebaikan kerana ia adalah kebajikan.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Tamin al-Dariy, Rasulullah bersabda, maksudnya: �Agama itu adalah nasihat. Lalu kami bertanya kepada Rasulullah, bagi siapa nasihat itu. Kata Baginda: Bagi Allah dan kitab-Nya dan rasul-Nya dan pemimpin Islam dan orang ramai.�

Nasihat bagi Allah itu ialah dengan beriman kepada-Nya. Nasihat bagi kitab Allah dan rasul-Nya ialah mengerjakan segala suruhan dan menjauhi segala larangan-Nya dan nasihat Rasulullah.

Nasihat bagi pemimpin dan orang ramai sebenarnya apa yang diterangkan oleh hadis ini untuk memperelokkan diri, masyarakat dan kehidupan seharian.


Mendoakan orang bersin.

Bersin ialah tindakan spasma kedua-dua dada dan saluran pernafasan yang menyebabkan penghembusan kencang dan keluarnya udara melalui lubang hidung. Tindakan ini datang sendiri dan tidak boleh dibuat-buat.

Apabila kita menyedut udara, maka udara itu dimaksudkan untuk menjadikan jantung kita bergerak. Udara itu dipanaskan hingga sampai ke darjah suhu badan kita, kemudian didinginkan hingga sampai hampir basah dan dibersihkan daripada bakteria dan debu lain.

Jadi udara yang masuk ke dalam jantung itu adalah udara bersih. Dengan demikian, hidung pun bersih dan lubang hidung dapat berfungsi dengan baik. Dengan ini dapat difahamkan bahawa jika seseorang itu bersin, maka itu adalah tanda dia sihat kecuali ketika sakit.

Oleh itu, apabila, seseorang itu bersin, maka sewajarnyalah dia menyebut Alhamdulillah kerana beliau berada dalam keadaan sihat. Apabila mendengar orang memuji Allah dengan ikhlas dan tawaduk, maka kita patut pula mendoakan orang itu mudah-mudahan dilebihkan lagi nikmat dan rahmat Allah kepadanya dengan berkata Yarhamkallah. Seterusnya akan dijawab oleh orang yang bersin tadi dengan berkata, yahdikumu allah wa yaslih balikum.


Melawat orang sakit.

Ramai di kalangan umat Islam yang kurang mengetahui menziarahi orang sakit adalah tuntutan agama. Ini terbukti dalam kitab hadis ada satu bab mengenai hal ini, termasuk cara melawat, ucapan waktu melawat dan sebagainya. Ini menunjukkan, adat melawat orang sakit sangat diambil berat oleh Islam. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari daripada Abu Musa al-Ashari yang bermaksud: �Berilah makan orang yang lapar, lawatilah orang yang sakit dan lepaskan orang yang teraniaya.�

Ulama fiqh bersetuju mengatakan bahawa melawat orang sakit adalah sunat. Ada juga pendapat yang mengatakan fardu kifayah. Sunat itu adalah berbentuk umum iaitu siapa saja yang sakit sama ada kita kenal atau sebaliknya, sama ada keluarga atau bukan dan umum bagi semua jenis pesakit.


Mengiringi jenazah.

Inilah kebajikan yang terakhir dapat kita buat untuk seseorang sebelum dia hilang dalam liang lahad. Daripada hadis di atas dapatlah difahami bahawa Islam menyuruh dan menggalakkan umatnya mengiringi jenazah ke kubur sama ada orang itu dikenali atau tidak dikenali.

Begitu pun, suruhan ini hanya tertumpu kepada orang lelaki, sementara orang perempuan tidak termasuk dalam suruhan ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh muttafaqih alaih daripada Atiyah katanya: �Kami dilarang mengiringi jenazah dan larangan itu tidaklah diberatkan ke atas kami. Ini bererti larangan itu hanya larangan makruh dan bukannya haram.�

Dalam hubungan ini patutlah diterangkan bahawa Islam sangat menghormati manusia sejak mereka dilahirkan hingga meninggal dunia.

Oleh itu, apabila kita melihat orang ramai membawa jenazah hendaklah berdiri dan apabila mengiringinya, janganlah duduk hingga jenazah itu diletakkan di atas tanah perkuburan.

Ini sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Muttafaqih alih daripada Abi Said, bermaksud: �Jika kamu melihat jenazah (lalu di hadapan kamu) hendaklah kamu bangun. Dan barang sesiapa yang mengikutnya hendaklah jangan duduk hingga diletakkan (di tanah).�

Inilah enam perkara yang disuruh oleh Islam dilakukan oleh seseorang Muslim terhadap saudaranya. Marilah sama-sama kita melaksanakan suruhan ini dan insya-Allah dengan pelaksanaannya dalam kehidupan bermasyarakat, kehidupan akan menjadi lebih harmoni.



...

No comments:

Post a Comment