Saturday, January 28, 2012
LEPASKAN DIRI DARI CENGKAMAN
“Apa kata pegawai penjara kepada kamu?” tanya Husam.
Tahanan yang berasal dari Yaman itu duduk beratur bersama saya menunggu giliran pemeriksaan kesihatan.
“Katanya, saya mungkin akan dihantar balik ke negara asal saya hari ini atau esok” saya menjawab, perlahan.
Badan terasa amat penat dan saya masih belum menjamah apa-apa makanan dek pahit mulut yang membantutkan selera makan.
Husam merenung saya.
“Saya pun, pegawai penjara kata begitu. Tetapi sudah dua bulan saya di sini!” ujar beliau.
Tangan saya menggeletar.
Terasa benar-benar putus harapan.
Saya tunduk dan membiarkan sahaja air mata jatuh ke lantai.
HMP Greenock pagi itu sepi. Tiada banyak aktiviti.
Saya dan beberapa tahanan lain diarahkan berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan kesihatan. Jika diperiksa fizikal, rasanya tubuh badan saya sihat-sihat sahaja. Malah asthma yang sering mengganggu diri tatkala berdepan dengan cuaca yang sejuk sebegini juga tiada. Tetapi kalau doktor boleh menyelongkar emosi dan fikiran saya, mungkin lain ceritanya.
Saya tidak tertekan.
Sebaliknya hilang perasaan.
Terasa kebas emosi.
Membiarkan sahaja apa-apa yang mahu berlaku, terjadi dan terus terjadi.
DI BILIK PEMERIKSAAN
“Take a deep breath” doktor mengarahkan saya.
“Open your mouth” pemeriksaan rutin terus dilakukannya.
“Mr. Abdul, do you feel pressured? How you describe your emotion?” soal doktor Scottish itu.
“I’m doing fine. Just go with the flow” terasa agak malas mahu menjawabnya.
“I’ve been told that you’re a student. Do you have exams?” tanya lagi.
“Yes. It’s not written. Oral. Memorization. The Quran” saya menjawab.
Sepatah, sepatah.
“Oh, it must be helpful that you memorize the Quran” beliau seperti mahu berbual.
Bosan barangkali.
“Sort of” saya bermalas-malasan menjawabnya.
“Do you have any feeling to attempt suicide?” tanya doktor itu.
Saya merenung mukanya.
“Doctor, this is the third time I’ve been asked the same question since yesterday. If you ask me that again, I might consider the idea!” saya menjawab.
Beliau ketawa kecil.
“It’s just the procedure. Ok, this is your inhaler. Keep it with you. The weather is getting rough around here!” katanya menamatkan sesi rawatan.
Saya menyambut inhaler itu dengan rasa berbelah bagi. Apakah ini bermakna saya akan lebih lama lagi berada di dalam tahanan ini?
PANGGILAN TELEFON
Selepas sesi pemeriksaan kesihatan, saya diberikan peluang oleh pihak penjara untuk membuat panggilan telefon. Hanya satu panggilan yang dibenarkan. Saya perlu memilih siapa yang patut dihubungi.
Hubungi emak.
Hubungi abang-abang.
Hubungi tunang.
Hubungi kawan.
Dalam situasi seperti ini, pilihan bukan berdasarkan mana yang lebih sayang. Tetapi berfikir secara logik, praktikal.
Saya memilih untuk menelefon seorang SAHABAT.
“Assalamualaikum, Min!” saya membuat panggilan.
“Waalaikum al-Salaam. Ustaaaazz!!! Ya Allah, ustaz kat mana?” tanya Nuzaimin.
“Anta jangan terkejut. Anta dengar sini ye. Ana tidak boleh bercakap panjang. Ana kena tahan masa di Carlisle on the way nak balik Belfast. Masalah visa hari tu. Sekarang ini ana dipenjarakan di HMP Greenock di Scotland. Ana tidak tahu apa yang akan berlaku selepas ini. Cuma, mohon sampaikan berita ini kepada housemates yang lain. Paling penting, beritahu Kak Muna ye. Ana minta jasa baik, anta tolong pujuk Kak Muna kalau dia panik. Final Med dia dah dekat sangat ni. Please ye, Min” saya bercakap pantas.
“Ustaz. Betul ke ni?” suara sahabat saya kedengaran bercampur baur.
“Betul, Min. Keluarga ana, anta tak perlu beritahu. Ana akan beritahu kemudian. Take care Min. Don’t worry about me. Kirim salam pada Jamal dan orang masjid sekali!” saya berpesan.
Saya menamatkan perbualan itu dengan rasa lega bercampur sedih.
Lega kerana sudah berjaya memaklumkan kepada sahabat yang boleh diharap membantu.
Sedih, mendengar suara Nuzaimin yang terkejut dengan berita ini.
Jika Nuzaimin terkejut, bagaimana pula dengan tunang saya. Bagaimana kalau emak tahu?
Saya termenung di tepi serambi tahanan. Di hujung mata saya nampak ada beberapa orang tahanan lain mahu datang kepada saya, tetapi ditahan oleh Husam. Pemuda Yaman itu tahu, saya memerlukan masa untuk bersendirian.
Dalam keperitan menempuh detik demi detik di dalam tahanan, saya bersyukur kerana tiada apa-apa kejadian buruk yang berlaku. Malah saya sebenarnya kagum dengan layanan serta kebajikan yang dijaga oleh pihak penjara. Tidak keterlaluan saya katakan, mungkin kehidupan di dalam tahanan ini jauh lebih selesa daripada ramai umat Islam yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, di luar sana.
Yang tiada hanya satu…
Kebebasan.
TERKEJUT
“Mr. Abdul, come here!” Michael memanggil saya.
Pegawai penjara itu tersenyum. Seperti biasa.
“We are deporting you back to Malaysia now. Please take all your belongings with you!” katanya.
Allahu Akbar!
Terlupa kiblat di mana, saya terus sujud syukur di lantai tahanan. Menitis air mata kesyukuran.
“I have no belonging. I am ready” saya menjawab.
Menoleh ke belakang, saya ternampak wajah sayu Husam dan rakan-rakan. Perasaan saya bersimpang siur. Hiba melihat ada air mata bergenang di pandangan anak muda itu. Beliau yang saya kenali kurang 24 jam, telah meminjamkan saya mushafnya sebagai teman, memberi kata-kata semangat seperti sudah lama bertemu.
“Ambillah mushaf ini sebagai kenangan persaudaraan kita” kata Husam, menolak naskhah yang saya pulangkan.
“Mushaf ini sumber kekuataan. Saya meneruskan perjalanan. Tetapi kamu mesti terus kuat. Kenangan di sini, bukan di mushaf ini” saya meletakkan tangan di dada anak muda itu. Mahu dirinya terus bertahan.
“Fee amanillah ya akhi. Jangan lupakan kami dalam doamu. Doa musafir mustajab!” Husam memeluk saya. Air mata kami bercucuran.
“Terima kasih. Doakan saya juga!” saya melepaskan Husam dan berpelukan dengan rakan-rakan yang lain.
BERLEPAS
Selepas prosedur pelepasan selesai, saya dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Glasgow. Di sana, saya diberikan taklimat keselamatan. Saya tidak digari kerana saya bukan penjenayah dan tidak mahu menakutkan penumpang pesawat yang lain. Sementara menanti pesawat British Airways yang akan menerbangkan saya ke London Heathrow, saya ditempatkan di dalam sebuah bilik di terminal.
“Hello, may I come in?” tiba-tiba seorang lelaki mengetuk pintu meminta izin masuk.
“Sure!” saya menjawab ringkas.
Wajahnya seperti pernah saya temui.
Beliau merupakan pegawai yang menangkap saya semasa road block di Carlisle tempoh hari. Beliau datang ke lapangan terbang apabila mendapat tahu yang saya akan dihantar pulang hari ini.
“I am sorry for what happened” katanya.
“It’s ok. You’re just doing your job” saya menjawab.
“I know you’re a good man. You don’t deserved to be treated that way and imprisoned” ujar beliau, sopan.
Saya sebenarnya sangat terharu. Sangat tersentuh dengan kesungguhan beliau datang ke lapangan terbang, semata-mata mahu meminta maaf daripada saya atas kesalahan yang hakikatnya bukan satu kesalahan. Saya yang bersalah. Bukan dia.
Scotland dan Ireland memang unik. Orangnya santun. Hatta pegawai penguatkuasa pun, masih terasa tinggi budi pekerti mereka. Moga hidayah Allah satu hari nanti menyempurnakan kemuliaan diri itu.
“Thank you, sir. I really appreciate your visit” saya berjabat tangan, berterima kasih kembali kepadanya.
Penerbangan British Airways memakan masa satu jam untuk tiba di London Heathrow. Cuaca yang baik melancarkan perjalanan. Sebaik pesawat mendarat, pihak polis di Heathrow telah bersedia di pintu pesawat untuk ‘menyambut’ saya dan membawa diri ke bilik tahanan. Di sana ada ramai lagi tahanan yang turut menanti giliran untuk diterbangkan pulang ke negara masing-masing. Saya terasa amat bersalah kerana menyusahkan ramai pihak atas kecuaian yang berlaku.
“Jika kamu ‘menolong’ Allah, Allah pasti akan menolong kamu!” petikan al-Quran yang Jamal ajukan kepada saya menjelang Aidiladha lalu masih terngiang-ngiang di telinga.
Biar pun penangkapan ini suatu musibah, saya dapat merasakan yang Allah sentiasa membantu. Sentiasa!
Pesawat MAS ke Kuala Lumpur dijadualkan malam ini. Saya membentang kain pelekat dan menunaikan solat Zohor dan Asar secara jamak qasar di tepi kerusi. Berdoa dan merayu kepada Allah agar dipermudahkan segala urusan. Usai mengerjakan solat, saya tertidur keletihan.
BELUM SUDAH
“Selepas pesawat ini berlepas dari London Heathrow, kamu boleh dapatkan passport daripada kapten pesawat!” kata pegawai Imigresen UK.
Saya mengangguk.
Saya ditempatkan di kerusi paling belakang pesawat Boeing 747 itu. Prosedur biasa untuk deportation.
Tiba-tiba…
Dumm!!!
Pesawat kami bergoyang sedikit. Seperti dilanggar sesuatu. Para penumpang terpinga-pinga. Kami semua menanti penjelasan.
“Para penumpang sekalian, pesawat kita mengalami sedikit kerosakan kerana bergeser dengan sebuah lori . Terdapat keretakan sepanjang 3sm dan pesawat tidak boleh berlepas sehingga pemeriksaan selesai dilakukan. Para penumpang akan ditempatkan di hotel berhampiran. Kami memohon maaf atas kesulitan yang berlaku” kapten kapal membuat pengumuman.
Ya Allah!
Mengapa semua ini berlaku?
Penumpang lain ditempatkan di hotel. Saya sudah tentu akan kembali ke tahanan. Apa lagi? Apa lagi yang masih belum cukup berlaku? Mengapa nasib saya begini?
Saya seperti panik dan hilang sabar. Lucut rasional pada pemikiran dek masalah yang datang bertimpa-timpa.
“Ya Allah, terbangkanlah pesawat ini malam ini. Kalau ia meletup di udara pun tidak mengapa. Asalkan aku tidak balik ke bilik tahanan!” naluri saya menjerit penuh kekecewaan.
Hampa.
BERLEPAS PULANG
Jam 3 pagi, kami mendapat pelepasan untuk terbang. Syukur Alhamdulillah.
Akhirnya saya terlepas daripada bebanan emosi berada di UK sebagai orang salah. Di sepanjang penerbangan, saya hanya mendiamkan diri. Tidak mampu lagi bermuhasabah. Hanya terlelap menunggu Tuhan memendekkan masa dan derita.
Usai mendarat, kapten kapal enggan menyerahkan passport kepada saya seperti yang dijanjikan oleh pegawai imigresen UK. Sebaliknya saya dibawa ke bilik tahanan di KLIA, diminta mengisi sehelai borang dan kemudian passport saya ditahan. Saya dilepaskan daripada sempadan, dengan berbekalkan sepucuk surat yang menghendaki saya hadir ke temuduga keselamatan yang bakal diadakan dua minggu lagi.
Di rumah, saya tidak banyak berkata-kata. Bonda juga tidak tahu kejadian yang menimpa. Hanya abang-abang saya arif. Mereka tenang dan memberikan keyakinan kepada saya untuk menyelesaikan keributan luar biasa ini.
Syukur Alhamdulillah, dengan saki baki wang yang ada dalam simpanan, saya meneruskan kehidupan. Saya cuba untuk tidak hilang fokus pada semakan hafalan al-Quran biar pun fikiran saya sangat tidak tenteram. Sekurang-kurangnya saya sudah berasa lega dapat bercakap dengan telefon bersama tunang di Ireland. Tahu yang beliau masih kuat, bertahan, dan tidak hilang fokus pada peperiksaan akhir yang sedang dipersiapkannya.
Saya mengisi masa dengan menyampaikan kuliah-kuliah Subuh, Zohor dan Maghrib di surau, masjid dan pejabat-pejabat sekitar Ipoh. Dakwah perlu diteruskan. Namun saguhati yang diberi, amat besar maknanya buat diri saya.
Selepas temuduga bersama pihak berkuasa, mereka berpuas hati dengan penjelasan saya. Passport saya telah dibatalkan dan digantikan dengan passport baru. Saya segera membeli tiket kapal terbang ke Amman.
Berbekalkan wang USD500, saya terbang ke gelanggang pertempuran terakhir di Medan Mu’tah.
Dua hari sebelum peperiksaan, saya tiba di medan.
Peluang terakhir.
Penuh debaran…
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment