Macam mana kalau orang kampung mengata?
Sanggupkah tunangku menerima hakikat, bakal suaminya kini dalam tahanan?
Bagaimana pula penerimaan keluarganya?
Kawan-kawan di Belfast apa khabar mereka?
Satu demi satu pertanyaan menerjah fikiran. Mata masih enggan melihat. Semakin gelap malam menelan HMP Greenock bersama kesejukan angin laut di Scotland, semakin banyak wajah dan peristiwa menerpa. Semakin gusar. Semakin gelisah.
Hanya ada satu wajah yang tidak muncul dalam bayangan itu.
Wajah saya!
Wajah diri sendiri.
Semenjak saya ditahan di Carlisle kelmarin, saya sentiasa risaukan orang lain. Bimbang dengan insan-insan tersayang, khuatirkan nasib mereka. Tetapi tidak diri sendiri. Langsung tidak risaukan diri sendiri.
“Paling teruk pun, aku mati. Dan semua orang mati!” itulah kata-kata yang berulang kali melintasi fikiran.
Bagi insan yang terdesak seperti saya, itulah kata-kata azimatnya. Bahawa hanya mati yang berpotensi menjadi worst case scenario, dan mati itu pula sesuatu yang terlalu pasti. Fikir mati, mati. Tak fikir mati pun, mati. Bersedia untuk mati, mati. Tak bersedia untuk mati pun, mati!
Maka saya kehilangan sebab untuk risaukan diri sendiri.
Tetapi memikirkan ibu, tunang, ahli keluarga dan rakan-rakan, dada saya sempit dibuatnya. Saya amat risaukan mereka. Risau andai saya melukakan hati mereka, menyusahkan mereka, mengecewakan mereka. Saya sangat lemah semasa berfikir tentang keluarga.
KELUARGA DAN PERJUANGAN
Subhanallah!
Itulah pelajaran besar saya malam ini.
Patutlah para Anbiya’ sentiasa bertindak dengan corak yang sama. Dakwah mereka mesti memberi tumpuan yang besar kepada keluarga. Malah mulakan dengan keluarga.
وَأَنذِرْ عَشِيرَتَكَ الْأَقْرَبِينَ
”Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat” [Al-Shu'ara' 26: 214]
Keluarga adalah sumber kekuatan kita, andai mereka bersama.
Keluarga juga adalah titik kelemahan terbesar kita, andai mereka meninggalkan kita.
Semasa Abang berpesan kepada saya, agar
tidak khuatir kerana yakin bahawa zaman ini zaman ‘orang agama’ dizalimi
seperti Ustaz Ishak Baharom dipecat daripada jawatannya sebagai Mufti
Selangor, kata-kata itu sangat menguatkan. Amat besar anugerah-Nya
apabila kita tahu bahawa perjuangan kita disokong oleh keluarga.
Memberikan keyakinan terhadap langkah-langkah ke hadapan, lebih daripada
perlindungan sepasang baju besi!
Dakwah keluarga.
Pujuk mereka.
Bukan sahaja kerana mereka tanggungjawab kita, bahkan sokongan mereka adalah kekuatan terbesar kita.
Dalam masa yang sama, andai perjuangan kita ditentang keluarga sendiri, bebanannya amat luar biasa.
Lihat sahaja tahanan ISA.
Hubungan tahanan dengan isteri dan
anak-anak sengaja dikonflikkan. Malah ada yang diasak dengan fitnah
bahawa isteri di kampung sudah main kayu tiga! Atau dalam sesetengah
kes, isteri memujuk suami meninggalkan perjuangan.
“Sudahlah tu, bang. Tak bolehkah kita hidup macam orang lain?” pujuk sang isteri.
Besar sekali jihad kita ketika perjuangan
kebenaran kita, dipaparkan sebagai punca kesusahan dan penderitaan ahli
keluarga. Kita yang membuat pilihan, mereka yang menanggung kesusahan.
Kasih sayang kita kepada keluarga, melontarkan soalan tentang kewajaran
sebuah pilihan.
Pilihan yang sangat menyakitkan.
Kita yang berjuang sudah membuat persediaan.
Tetapi mengapa insan-insan yang kita sayang menanggung kesakitan.
Sakit yang tidak dapat diabaikan.
Kecuali dengan sebuah kemaafan.
Dan mereka tidak mampu memaafkan, kecuali mereka bersama dalam sebuah perjuangan.
SEPI MALAM
Mata masih enggan lelap.
Tahanan satu sel saya sudah hanyut dalam dengkurannya.
Saya bangkit dan membuka televisyen. Bukan mahu menonton apa-apa. Sekadar mencari sedikit cahaya, buat menatap mushaf:
Adakala, Al-Quran menggambarkan isteri dan anak-anak sebagai amanah.
يَا
أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا
وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ
لَّا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ
Wahai orang-orang yang beriman!
Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan
bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal
oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak
menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada
mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. [Al-Tahrim 66: 6]
Adakalanya, Al-Quran menggambarkan mereka yang sama itu, sebagai perhiasan kehidupan di dunia ini.
الْمَالُ
وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا . وَالْبَاقِيَاتُ
الصَّالِحَاتُ خَيْرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ أَمَلًا
Harta benda dan anak pinak itu, ialah
perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu
lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik
sebagai asas yang memberi harapan. [Al-Kahf 18: 46]
Di suatu ketika, Al-Quran mengancam orang
yang mengasihi mereka hingga berkongsi martabat dengan cinta yang
sepatutnya hanya untuk Allah.
قُلْ إِن
كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ
وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ
كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ اللَّهِ
وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّىٰ يَأْتِيَ
اللَّهُ بِأَمْرِهِ . وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika
bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan
isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta
benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan
merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, – (jika
semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada
Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka
tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya);
kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik
(derhaka). [Al-Taubah 9: 24]
Keluarga berlegar-legar dalam kehidupan
kita, ada masa mereka memberi, ada masa mereka menerima. Ada masa mereka
mengukuhkan, ada masa mereka melemahkan. Semuanya bergantung kepada
ketepatan kita pada meletakkan diri, keluarga, perjuangan dan kehidupan
di posisi-posisi yang betul.
Posisi yang sentiasa di tempat kedua.
Selepas yang pertamanya hanyalah DIA.
Laa Ilaaha Illallaah.
Tiada yang lebih kuutamakan dalam hidup ini selain ALLAH.
Terimalah kesaksianku…
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 BANDAR SERI PUTRA
43000 BANDAR SERI PUTRA
No comments:
Post a Comment