Sunday, August 14, 2011

NUZUL QURÁN



بِسْــــــــــــــــــــــمِ اﷲِارَّحْمَنِ ارَّحِي


Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, 

Kepada semua pembaca yang dirahmati Allah. Alhamdulillah, pejam celik, hari ni 15 Ogos bersamaan 15 Ramadhan. Sudah 15 hari sebenarnya kita berpuasa dan menunaikan ibadah di dalam bulan mulia. Semoga kita mengambil peluang di dalam bulan keberkatan ini untuk melaksanakan sebanyak mungkin amal kebaikan, ibadat dan juga berdoa yang tidak putus dan penuh pengharapan kepada Allah. 

Lusa 17 Ramadhan, merupakan hari Nuzul Quran. dan di Malaysia, ada beberapa negeri yang bercuti pada hari tersebut. Kita selalu menyebut Nuzul Quran, tetapi adakah kita mengerti apakah yang di maksudkan dengan Nuzul Quran? Saya ada menemui satu artikel ringkas mengenai Nuzul Quran. Artikel ini saya ambil dari artikel yang dikeluarkan oleh Pusat Pendidikan Al-Itdqan pulau Pinang. Semoga kita mendapat manfaat dan mengulangkaji apa sebenarnya Nuzul Quran itu.

Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini.

Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah.
Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran. ‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. 

Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran.

Firman Allah: " Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan)""  

                                                                  (Al-An’am:38) 

Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan. 

Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya: 

" Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” 

                                                                   (al-‘alaq:1-5)

No comments:

Post a Comment