Saturday, August 20, 2011

10 TERAKHIR RAMADHAN DAN LAILATUL QADAR



Pada malam sepuluh terakhir terdapat satu malam yang dinamakan Lailatul Qadar (malam yang mempunyai berkat dan keistimewaan yang banyak). Pada malam ini diturunkan Al-Quran sebagaimana firman Allah:

Maksudnya:
Sesungguhnya Kami menurunkannya (Al_Quran) pada Lailatul Qadar.
Al-Qadar: 1)

Ibn Abbas berkata: Allah menurunkan Al-Quran sekaligus dari Al-Luh Al-Mahfuz ke Bait al-E’zzah yang terletak dilangit dunia. Kemudian ia turunkan secara berperingkat-peringkat kepada Rasulullah s.a.w., selama 23 tahun.

Lailatul Qadar disifatkan lebih baik dari seribu bulan, Firman Allah:

Maksudnya:
Lailatul Qadar lebih baik dari seribu bulan”.
(Al-Qadar:3)

Malam ini juga disifatkan sebagai malam berkat, Firman Allah S.W.T:

Maksudnya:
"Sesungguhnya Kami turunkannya (Al-Quran) pada malam yang diberkati”.
(Al-Dukhan: 4)


Pada malam ini juga turunnya para Malaikat. Dan Malaikat turun bersama-sama turunnya berkat dan rahmat Allah yang dikhaskan untuk malam ini. Ditetapkan umur, rezeki dan ajal manusia. Firman Allah S.W.T:

Maksudnya:
Pada malam itu (Lailatul Qadar) dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah”.
(Al-Dukhan : 4)

Maksud ‘urusan yang penuh hikmah’ ialah pada malam tersebut Allah menentukan umur, rezeki dan ajal manusia.

Allah S.W.T. mengampunkan hamba-Nya yang menghidupkan malam tersebut dengan penuh rasa keimanan dan pengharapan.

Bila Lailatul Qadar? Nabi s.a.w bersabda:

Maksudnya:
Carilah Lailatul Qadar pada malam sepuluh terakhir Ramadhan
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah s.a.w. bersabda lagi:

Maksudnya:
Carilah Lailatul Qadar pada malam ganjil pada sepuluh malam terakhir”.
(Riwayat Bukhari)

Imam Nawawi berpendapat bahawa memandangkan hadith-hadith yang menceritakan tentang Lailatul Qadar berselisih pada waktunya, maka ini menunjukkan bahawa malam tersebut berpindah-pindah pada setiap tahun.

Oleh itu , marilah kita sama-sama memanfaatkan malam sepuluh terakhir Ramadhan dan menghidupkannya dengan ibadah dan doa. Dalam sebuah hadith riwayat Tirmizi, Ahmad dan Ibn Majah bahawa Aisyah r.a. bertanya kepada Rasulullah s.a.w: “Wahai Rasulullah, sekiranya aku berada pada Lailatul Qadar, apa yang aku perlu buat? Baginda menjawab: katakanlah:  "Allahumma innaka 'afwun karim tuhibbul 'afwa fa'fu 'anna" (
Ya Allah, sesungguhnya Engkau Zat yang Maha Pengampun lagi Maha Mulia. Engkau Zat yang suka memberi maaf/ampunan, maka ampunilah kami Wahai Zat yang Mulia).

No comments:

Post a Comment