selatanonline
Imam al-Ghazali dalam kitabnya, al-Ihya’ Ulumuddin, ada
menyenaraikan beberapa tujuan berkahwin yang antaranya menghilangkan tekanan
perasaan terhadap wanita yang sentiasa datang mengganggu di dalam ibadat. Dengan
perkahwinan juga, seseorang itu dapat memelihara diri daripada godaan syaitan
yang akan membawa ke arah perkara yang haram.
Berdasarkan itu amat
wajar setiap manusia berkahwin bagi menyelamatkan iman. Apatah lagi pasangan
yang sedang bercinta, segeralah berkahwin kerana mereka berdua terdedah kepada
tekanan tersebut. Pada masa yang sana ibu bapa yang mempunyai anak baik lelaki
mahupun perempuan, perhatikan keinginan mereka. Jika mereka sudah ada rasa
keinginan untuk berkahwin, lihatlah dengan serius apakah dia sudah benar-benar
layak atau tidak.
Jika mereka layak
iaitu, ilmu agamanya sudah matang, ada kemampuan yang boleh menjamin kehidupan
mereka, maka segerakanlah perkahwinan mereka sebelum terjadinya perzinaan.
Sebaliknya jika tidak layak atau belum layak bimbinglah mereka ke jalan yang
betul dan pantaulah pergerakan agar tidak melakukan perkara yang haram.
Sebenarnya hubungan
lelaki dengan perempuan perlu ada batas, bukan dilepas bebas sesuka hati mereka.
Namun begitu pemantauan ibu bapa janganlah sampai anak kita itu rasa takut
ketika di hadapannya, tetapi akan liar dengan gejala sihat di belakang kita.
Inilah yang kita bimbangkan.
Segera berkahwin
Setiap manusia
perlukan pasangan hidup. Adam yang diciptakan dan ditempatkan di dalam syurga
setelah dimasukkan nafsu, telah melahirkan rasa jemu hidup seorang diri, lalu
meminta diadakan pasangan untuknya. Itulah realiti lelaki dan wanita di muka
bumi ini. Malah setelah lelaki berusia baligh rasa inginkan wanita sudah mula
berputik. Di sinilah perlunya bantuan ibu bapa dalam memahami kehendak
mereka.
Kalau mereka dilihat
sudah layak berkahwin, carilah calon yang sesuai dengan anak masing-masing.
Mungkin ramai yang dah lupa, dalam budaya masyarakat Melayu tahun sebelum 60-an
urusan mencari jodoh diserahkan kepada ibu bapa. Anak-anak ketika itu boleh
menerima cadangan dan rancangan ibu bapa mereka. Hal ini kerana peluang untuk
mereka mencari sendiri agak terhalang.
Kenapa tak percaya?
Sebenarnya dahulu, wanita banyak berada di rumah dan kalau mereka keluar rumah
pun dalam keadaan malu. Dalam keadaan itu tentulah sukar bagi lelaki untuk
berkenalan dengan wanita tersebut. Oleh sebab tidak tahu status sebenar wanita
tersebut maka ibu bapa perlu keluar merisik kalau-kalau anak perempuan itu masih
belum berpunya.
Keadaan ini mungkin
tidak jauh berbeza dengan masyarakat lain. Khadijah sendiri yang dikatakan
merisik Muhammad tetapi hakikatnya masih melalui pembantunya Maisarah. Bagitu
juga masyarakat India, terdapat wakil pihak wanita yang merisik pihak lelaki.
Memilih calon yang syari’i
Dalam Islam
perkahwinan mestilah mengikut proses yang dibenarkan syariat. Walaupun zaman
telah berubah, pendekatan merisik orang orang tua masih releven. Oleh sebab itu
tidak wajarlah lelaki atau perempuan mencari calon sendiri. Selepas pikat
seorang, pikat yang lain pula kononya tidak sesuai. Akhirnya semuanya tidak
jadi.
Islam menyediakan
panduan yang tidak rugi mereka yang mengikutnya. Dalam soal memilih calon Islam
meletakkan keutamaan kepada lelaki, namun tidak salah kalau perempuan yang
meminati seseorang lelaki menentukan calonnya. Walau apapun pilihan calon isteri
atau suami hendaklah yang menepati kehendak Allah dan Rasul.
Pemilihan ini
penting kerana hubungan yang serasi atau sekufu sahaja yang boleh menjadi rumah
tangga yang dibina itu sempurna sifat. Cuma persoalan sekarang bagaimana proses
mencari? Ya, kalau zaman dahulu ibu bapa yang mencari tetapi pada zaman ini,
semuanya sudah berubah, lelaki atau perempuan mencari sendiri pasangan mereka.
Peranan ibu bapa hanya pada pusingan terakhir. Jadi, hilanglah keberkatan.
Dalam hal ini
Rasulullah memberi panduan dalam memilih isteri. Sabda Rasulullah SAW yang
bermaksud: “Dikahwini wanita itu (untukdijadikan isteri)
kerana empat perkara iaitu harta kekayaannya, keturunannya, kecantikannyadan
agamanya. Maka utamakanlah (dalam pemilihanmu itu) wanita yang kuat
beragama,nescaya sejahtera hidupmu” (Riwayat Bukhari dan
Muslim)
Jelas di sini lelaki boleh membuat pilihan malah
itulah yang biasanya menjadi pilihan lelaki iaitu, wanita ada duit, wanita yang
berketurunan yang baik-baik, wanita yang ada rupa dan wanita yang beragama. Cuma
dalam hadis ini Rasulullah mencadangkan agar lelaki itu lebih memilih yang
bergama. Hal ini kerana dengan memilih isteri yang beragama banyak urusan rumah
tangga dapat dibantu oleh isteri tersebut.
Tetapi apa yang sering berlaku pada hari ini,
walaupun berkawan dan bercinta bertahun-tahun belum boleh buat keputusan.
Apabila dirasakan agak serasi barulah dia menghantar wakil merisik. Agaknya apa
yang hendak dirisikkan lagi sebab kenalan mereka sudah lebih daripada merisik.
Tegasnya soal agama tidak diberikan perhatian langsung. Kesannya apabila
berkahwin terbungkar segala rahsia yang selama ini tidak dedahkan.
Sifat suami dan isteri
Sebenarnya
perkahwinan yang mengikut panduan Islam akan menserlahkan keindahan sesebuah
kehidupan. Suami dan isteri sudah tahu hak dan tanggungjawab yang mesti
ditunaikan dalam rumah tangga. Masing-masing sudah tahu kekuatan dan kelemahan
pasangan untuk saling bekerjasama dalam membina rumah tangga bahagia.
Dalam hal ini isteri perlu tahu apakah hak suami
yang mesti dipatuhi oleh isteri. Sabda Rasulullah SAW:
حَقُّ الزَوْجِ
عَلَى الْمَرْأَةِ أن لا تَهْجُرْ فِرَاسَهُ وأن تَبِرَّ قِسْمَهُ وَأَن تُطِيعَ
أمْرَهُ وَأَن لا تَخْرُجَ الا بإذنه وان لا تُدخِلَ اليه من يَكْرَهُ.
Maksudnya: Hak suami yang mesti
dipatuhi isteri ialah; tidak meninggalkan tempat tidur suami, menerima seadanya
pemberian suami, mentaati perintah suami, meminta izin suami ketika hendak
keluar rumah, dan tidak membawa masuk orang lain yang dibenci suami ke dalam
rumah. (Riwayat al-Tabrani)
Pada masa yang sama suami perlu tahu apakah hak
isteri yang perlu diberi perhatian olehnya. Sabda Rasulullah SAW:
حَقُّ
الْمَرْأَةِ عَلَى زَوْجِ أن يُطْعِمَهَا اِذَا اَطْعَمَ وَيَكْسُوهَا إِذَا
اكْتَسَى وَلا يَضْرِبْ الوَجْهَ وَلا يُقَبِّحْ ولا يَهْجُرْ اِلاَّ فِى
البَيتِ.
Maksudnya: Hak isteri yang wajib
dijaga oleh suami ialah memberi makan kepada isteri apabila dia makan, memberi
pakaian kepadanya apabila dia memakai pakaian, jangan memukul muka isteri, tidak
menghina isteri, dan tidak meninggalnya bersendirian kecuali dalam rumah.
Jika suami isteri tahu peranan masing-masing tidak
akan berlaku pelanggaran peranan atau salah menyalah antara satu sama lain. Pada
masa yang sama ada rasa bersama dan bekerjasa dalam membina rumah tangga yang
harmoni.
Iman dan ibadah
Sebenarnya untuk
menjadi pasangan ini dapat menjaga semua kehendak Allah dan Rasul, perkahwinan
itu mesti diasaskan atas rasa keimanan yang mantap. Maknanya suami dan isteri
benar-benar takut kepada Allah dan mengharapkan reda-Nya. Suami yang beriman
akan mendorong dirinya untuk melakukan yang terbaik terhadap isterinya. Selain
kuat ibadah kepada Allah mereka tidak akan menganiayai isterinya sebaliknya
terus membimbing isteri ke arah kebaikan.
Suami yang beriman
akan mendorong isterinya untuk melakukan ibadah bersama apatah lagi solat fardu.
Dengan hubungan baik itulah syaitan rasa kecewa kerana peluang untuk menggoda
pasangan itu agak tipis. Ruang untuk mengajak mereka melakukan maksiat sudah
semakin sukar. Oleh sebab itu kalau mereka boleh istiqamah dengan cara ini hidup
mereka akan bahagia selama-lamanya.
Selain itu, isteri
yang boleh reda dengan didikan suami dan sanggup mengikut kehendak suami itulah
hakikat bahawa isteri tahu peranan dan tanggungjawabnya. Tetapi kedudukan isteri
ini harus selalu dikawal kerana syaitan sentiasa mencari peluang untuk
merosakkan rumah tangga yang bahagia.
Sebenarnya, pasangan
yang bahagia pada awal perkahwinan ada jaminan untuk bahagia hingga ke akhir
hayat nanti. Demikian jika hubungan suami dan isteri itu dapat dikukuhkan dan
dapat ditingkatkan iman dan taqwa. Walau bagaimanapun hasil pengalaman yang
lampau banyak menyedarkan saya bahawa kebahagiaan rumah tangga tidak terhasil
dengan lakonan.
Jadi, binalah
perkahwinan di atas asas iman dan taqwa agar nanti setiap perjalanan hidup dalam
bantuan Allah.
Oleh
Ustaz Ahmad Baei Jaafar
--
Dicatat Oleh Blogger ke Fikrah Islamiah
--
Dicatat Oleh Blogger ke Fikrah Islamiah
Posted
by ahmadi
No comments:
Post a Comment