Friday, February 10, 2012

DAGING BABI...CURI TULANG, CURI MASA



Mengular adalah curi tulang semasa bekerja iaitu semasa bekerja, cuti tidur di surau atau lepak-lepak di kantin atau mamak.
"Sekalipun ramai orang melakukannya, kesalahan tetap satu kesalahan," kata seorang ustaz.
"Syarikat kami tidak akan terjejas kerana kesalahan kecil seperti ini," ujar seorang pekerja. Tidak rasa bersalah langsung terbayang diwajahnya.
"Mungkin syarikat tidak terjejas dalam masa pendek. Tetapi jika kesalahan itu telah menjadi budaya semua orang, ia boleh menjejaskan syarikat & produktiviti dalam jangka masa panjang."
Dia senyum lagi. Kebimbangan yang ustaz itu suarakan dianggap kecil oleh beliau.
"Saudara, yang akan terjejas dalam masa terdekat & jangka masa panjang bukan sahaja syarikat, tetapi saudara & keluarga saudara." tusuk ustaz perlahan.
"Ya ke? Bagaimana?"

"Jika dihimpunkan, agak-agak berapa lama masa yang saudara ambil untuk mengular dalam sebulan?" tanya ustaz mengalih perhatian.
"Sehari mungkin 10 atau 15 minit. Tetapi tidak selalu, dalam sebulan agak-agaknya adalah dalam sejam (60 minit),"Jawabnya terus terang.

"Berapa gaji saudara sebulan?" Tanpa mendapat jawapannya, saya menyambung, "Katalah RM 1,000. Gaji dibayar atas lama masa saudara bekerja dalam syarikat. Apabila terima gaji pada akhir bulan itu, bererti termasuk sejam masa saudara mengular itu," jelasnya.
Lelaki itu tercengang sedikit. Tetapi akhirnya mengangguk perlahan.
"Jika sejam itu ditukar kepada bentuk wang, agaknya berapa?"
"Tak sampai RM 5. Kecil sangat tu!" sampuknya cepat.

"Tetapi RM 5 itu cukup untuk membeli sekilo beras atau beberapa ekor ikan, bukan?"

Dia mengangguk lagi.
"Dan beras atau ikan itu kita jadikan makanan untuk diri, isteri & anak-anak kita."
"Haram ke?" tanya lelaki itu separuh mencebik.

"Saudara, gaji dibayar mengikut masa kita bekerja. Jika kita dibayar juga sedangkan kita tidak bekerja bagaimana? Apakah wang itu masih halal?"
Lelaki itu terdiam. Dalam hatinya pasti mengiakan bahawa hukumnya haram.
"Apabila wang yang sebegitu digunakan untuk membeli makanan anak isteri kita tentu sahaja hati mereka gelap."
"Kenapa?"
"Bukankah hati dibentuk oleh makanan? Makanan yang haram akan menggelapkan hati."
"Awak masih ingat isu sosej bersalut usus babi suatu ketika dulu?" kilas ustaz memperbaharui rentak perbualan.
"Isu tersebut memang menggemparkan. Ramai umat Islam tersentak kerana merasakan mereka telah ditipu & dianiaya kerana membeli & memakan sosej haram. Ramai yang bertindak menyamak kuali, periuk & lain-lain peralatan memasak. Sampai begitu sekali keprihatinan kita," sambung ustaz itu.
"Memanglah, babi kan haram. Sakit hati betul kerana kita ditipu hidup-hidup!" kata lelaki itu meluahkan kemarahannya.

"Saudara, sebenarnya isu termakan sosej bersalut usus babi itu tidaklah sebesar isu yang kita bincangkan tadi."
"Isu yang mana?"

"Isu makan makanana yang dibeli dengan duit hasil bekerja secara curi tulang atau curi masa!" tekan ustaz tersebut.
"Mengapa pula begitu?"

"Mereka yang termakan sosej bersalut usus babi itu bukan sengaja. Itu tak berdosa sebab tidak sengaja. Kalau berdosa pun kerana kurang berhati-hati. Katalah berdosa, itu pun dosa dengan Allah semata-mata. Untuk taubat perlu menempuh tiga syarat-syarat taubat."
"Dosa makan gaji secara curi tulang?"

"Itu dosa dengan manusia. Maksudnya, dosa dengan majikan & seluruh 'stake holder' organisasi tersebut. Kalau majikan kita kerajaan, itu lebih parah lagi. Dosanya pada seluruh rakyat. Dosa manusia perlu menempuh empat syarat taubat. Selain menyesal, berhenti & berazam tidak mahu mengulangi, terpaksa meminta halal atau reda daripada orang yang kita berdosa."
"Jadi, kena minta halal daripada setiap orang yang terlibat, begitu?" lelaki itu terperanjat.

"Ya, begitulah dari segi ilmunya."
"Susah tu, bukan mudah."

"Itulah yang saya katakan tadi, dosa dengan mansia ada kalanya lebih sukar untuk bertaubat berbanding dosa dengan Allah. Ada yang lebih sukar daripada itu," tambah ustaz apabila melihat dia lama berdiam diri.
"Ada lagi yang lebih sukar? Apa itu?" tanya lelaki itu.

"Rasa tidak berdosa!"
"Maksud ustaz?"

"Begini, orang yang termakan benda yang jelas haram, tahu itu satu dosa & ada kemungkinan dia bertaubat. Tetapi orang yang curi masa & curi tulang, selalunya rasa tidak berdosa. Semua orang buat, apasalahnya? Mereka rasa perbuatan curi masa itu 'biasa-biasa' sahaja & kesalahannya lebih ringan jika dibandingkan deosa termakan daging babi. Jadi, apabila itu tidak dianggap dosa, mana mungkin mereka bertaubat?"
"Padahal dosa curi masa, curi tulang, tidak amanah itu lebih beratkan ustaz?"

Ustaz itu diam. Alhamdulillah, dia sudah faham dan mula dia serius.

Hasil karya;
Pahrol Mohd Juoi.

Jika kita ada ilmu yang baik, eloklah dikongsi bersama walaupun sedikit kerana manusia & diri kita sendiri sering lupa. Dalam berdakwah perlukan istiqamah.

No comments:

Post a Comment