Friday, December 31, 2010

ZIKIR




Assalamualaikum...

Kejujuran itu kekasih Allah. Berterus-terang itu merupakan sabun pencuci hati. Pengalaman itu bukti. Dan seorang pemandu jalan tak akan membohongi rombongannya. Tidak ada satu pekerjaan yang lebih melegakan hati dan lebih agung pahalanya, selain berzikir kepada Allah. "Kerana itu, ingatlah kamu kepadaKu nescaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepadaKu, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat-KU)” (QS. Al-Baqarah: 152)

Berzikir kepada Allah adalah syurga Allah di bumiNya. Maka siapa yang tak pernah memasukinya, ia tidak akan dapat memasuki syurgaNya di akhirat kelak. Berzikir kepada Allah merupakan penyelamat jiwa dari pelbagai kerisauan, kegundahan, kekesalan dan goncangan. Dan zikir merupakan jalan pintas paling mudah untuk meraih kemenangan dan kebahagian hakiki. Untuk melihat faedah dan manfaat zikir, cuba perhatikan kembali beberapa pesan wahyu Ilahi. Dan cubalah mengamalkannya pada hari-hari kita, nescaya kita akan mendapatkan kesembuhan.

Dengan berzikir kepada Allah, awan ketakutan, kegalauan, kecemasan dan kesedihan akan hilang. Bahkan dengan berzikir kepadaNya segunung tumpukan beban kehidupan dan permasalahan hidup akan runtuh dengan sendirinya.

Tidak hairanlah bila orang-orang yang selalu mengingat Allah senantiasa bahagia dan tenteram hidupnya. Itulah yang memang seharusnya terjadi. Adapun yang sangat menghairankan adalah bagaimana orang-orang yang lalai dari berzikir kepada Allah itu justeru menyembah berhala-berhala dunia. Padahal, "(Berhala-berhala) itu mati tidak hidup dan berhala-berhala itu tidak mengetahui bilakah penyembah-penyembahnya akan dibangkitkan." (QS. An-Nahl: 21)

Wahai orang yang mengeluh kerana sukar untuk tidur, yang menangis kerana sakit, yang bersedih kerana sebuah tragedi, dan yang berduka kerana suatu musibah, sebutlah namaNya yang kudus! Betapapun, "Tuhan (yang menguasai) langit dan bumi dan apa-apa yang ada di antara keduanya, maka sembahlah Dia dan berteguh hatilah dalam beribadat kepada-Nya. Apakah kamu mengetahui ada seorang yang sama dengan Dia (yang patut disembah)?" (QS. Maryam: 65)

Semakin banyak kita mengingat Allah, fikiran kita akan semakin terbuka, hati kita semakin tenteram, jiwa kita semakin bahagia dan nurani kita semakin damai sentiasa. Itu kerana dalam mengingat Allah terkandung nilai-nilai ketakwaan kepadaNya, keyakinan penuh kepadaNya, bergantung diri hanya kepadaNya, kepasrahan kepadaNya, berbaik sangka kepadaNya, dan pengharapan kebahagiaan dariNya.

Dia senantiasa dekat ketika si hamba berdoa kepadaNya, senantiasa mendengar ketika diminta, dan senantiasa mengabulkan jika dimohon. Rendahkan dan tundukkan diri kita ke hadapanNya, lalu sebutlah secara berulang-ulang namaNya yang indah dan penuh berkah itu dengan lidah kita sebagai pemurnian dari ketauhidan, pujian, doa, permohonan dan permintaan ampunan kita kepadaNya.


Dengan begitu, nescaya berkat kekuatan dan pertolongan dariNya kita akan mendapatkan kebahagiaan, ketenteraman, ketenangan, cahaya penerang dan kegembiraan. ”Dan Kerana itu Allah memberikan kepada mereka pahala di dunia dan pahala yang baik di akhirat.” (QS. Ali ’Imran: 148)

Sekian buat kali ini jumpa lagi...



Thanx: EnAbd Razak-blog PERJALANAN YANG SINGKAT

No comments:

Post a Comment