Udang Goreng Butter Yang Paling Sedap
Sumber Dari: Azie Kitchen
http://aziejaya.blogspot.com/2013/05/udang-goreng-butter-yang-paling-sedap.html
Ini
adalah menu semalam, menu hari minggu di mana saya masuk ke dapur tanpa
dirancang pun kerana saya baru sahaja sembuh dari demam selsema yang
sangat teruk. Bila teringatkan banyak telur kuning lebihan telur semasa
menyediakan Rainbow Cake In Jar tempohari, saya menyarankan kepada hubby
supaya belikan udang untuk dibuat Udang Goreng Butter. Saya pernah
menyediakan Udang Goreng Butter di SINI. Itupun setelah beberapa kali mencuba, akhirnya saya berjaya menyediakan Udang Goreng Butter sendiri.
Saya
memang sangat sangat menggemari Udang Goreng Butter. Kalau makan di
restoran seafood, memang satu kemestian untuk memesan lauk ini. Harganya
pun memang boleh tahan. Tapi itulah, kalau makan di restoran seafood
yang diusahakan oleh orang Melayu, memang tak berapa menjadi Udang
Goreng Butter. Kadang kadang saya rasa sangat hairan kenapa tukang masak
ini tidak betul betul diajar cara menyediakan lauk pauk seafood seperti
mana restoran Cina. Bukan sahaja udang, lauk lain pun sama. Sebagai
contoh ikan yang digoreng untuk sweet sour, kita boleh tengok isi ikan
tu terlalu garing sehingga boleh kelihatan tulangnya. Jadi apa kata kita
sediakan sendiri lauk pauk yang disediakan di restoran seafood, bukan
sahaja lebih sedap tetapi juga lebih jimat. Betul, tak?
Sedang
memasak, tiba tiba anak lepas seorang seorang masuk ke dapur
mengucapkan Selamat Hari Ibu. Ohh baru ingat yang ianya adalah hari ibu.
Akhir sekali Nelly masuk ke dapur membawa Kad ucapan yang besar
berserta Pop corn Garrett yang merupakan snack kegemaran saya. Hmm
sangat sangat terharu dengan ingatan anak anak kepada saya. Walaupun
masih tak sihat, tiba tiba jadi tambah bersemangat untuk menyediakan
hidangan tengahari untuk mereka. Saya langsung tak menjamah udang ini
kerana tahu mereka amat menggemari Udang goreng Butter. Melihat mereka
makan pun, hati saya sudah terasa puas...
Udang Goreng Butter/Buttered Prawn
Oleh: Azie Kitchen
Sarang Telur:
2 biji kuning telur
1 senduk butter/margerin
1 cawan minyak masak
Pukul ringan kuning telur.
Panaskan
butter/margerin bersama minyak masak. Sebaiknya gunakan senduk bulat.
Bila minyak dalam kuali sudah betul betul panas, pusing pusingkan minyak
dengan senduk tu laju laju membentuk bulatan sehala tanpa henti.
Kemudian
tuangkan kuning telur tadi, tuang tinggi sikit supaya telur jatuh ke
dalam kuali tu halusss jer. Teruskan pusing minyak tu laju laju dan
tuang hingga habis. Pusing terus senduk tu sehingga telur tu masak
berwarna keemasan.
Setelah
masak tuangkan ke dalam tapis seperti tapis santan besi untuk toskan
minyaknya. Langkah seterusnya kita siapkan pula udangnya.
Udang:
12 ekor udang
Sedikit garam
Sedikit lada sulah
Minyak untuk menggoreng
3 ulas bawang putih - dicincang
6-8 tangkai cili padi - dihiris
5 tangkai daun kari
1/4 cawan susu cair/susu segar
Sedikit butter/margerin untuk menumis
Sedikit serbuk lada hitam/putih - jika suka
Garam secukup rasa
Mula
mula goreng dulu udang yang digaul dengan sedikit garam dan lada sulah
sehingga agak berubah warna dan masak. Jangan goreng terlalu lama sangat
nanti udang akan mengecut, tak cantik dan agak keras bila dimakan.
Angkat dan toskan minyaknya. Keluarkan minyak tu dari kuali, tak nak
guna lagi.
Panaskan butter/margerin di dalam kuali dan tumis bawang putih, cili padi dan daun kari hingga garing dan naik bau.
Kemudian
masukkan susu cair dan masak sebentar. Masukkan udang yang digoreng
tadi, sedikit serbuk lada hitam/putih dan garam secukup rasa. Jangan
bubuh banyak sangat garam yer sebab butter atau margarine sudah ada
garam.
Setelah
semua bahan masak dan mesra, bolehlah dimasukkan ke dalam pinggan
hidangan dan taburkan sarang telur/floss yang kita buat tadi. Siapp..
Senang kann