Tuesday, September 18, 2012
LAWATAN PUTRA WILLIAM DAN ISTERI, KATE MIDDLETON KE MALAYSIA
SEPANG: Pasangan Diraja Britain, Putera William dan isteri, Catherine tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, bagi memulakan lawatan rasmi empat hari.
Malaysia adalah destinasi kedua selepas Singapura dalam lawatan selama sembilan hari pasangan diraja itu, ke negara Asia Tenggara dan Asia Pasifik bagi mewakili Ratu Elizabeth II bersempena sambutan 60 tahun pemerintahan baginda.
Ketika pasawat yang membawa pasangan diraja itu mendarat di KLIA pada tengah hari, sekumpulan jurugambar media menunggu dengan sabar di tempat laluan kereta diraja.
Media sebelum ini melaporkan kira-kira 100 wartawan dan jurugambar asing dari United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, New Zealand, Jepun, Jerman, China, Perancis dan Indonesia tiba di negara ini bagi membuat liputan lawatan pasangan diraja itu.
Menurut kenyataan Kementerian Luar Selasa lalu, lawatan itu bukan saja menandakan hubungan erat Malaysia dan United Kingdom, malah ia dijangka akan meningkatkan lagi hubungan mesra antara kedua-dua negara.
Pasangan diraja itu kemudiannya diiringi ke Putrajaya bagi mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana, sebelum menghadiri majlis makan tengah hari.
Orang ramai yang berkumpul di lapangan terbang turut mengambil kesempatan merakamkan gambar pasangan diraja Britain itu. Pasangan itu juga dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah, dan menghadiri majlis santapan diraja di Istana Negara, malam ini.
Sepanjang lawatan ke negara ini, pasangan diraja itu akan melawat Hospis Malaysia, pertubuhan amal yang menawarkan penjagaan paliatif profesional kepada pesakit menghidap penyakit hayat terhad, Taman KLCC dan Lembah Danum, hutan hujan tropika utama, di Sabah.
Mereka dijadual berangkat ke Kepulauan Solomon Ahad ini, untuk meneruskan lawatan.
Sumber:Berita Harian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment