Tuesday, March 20, 2012

KASIH IBU DN ANAK

Anak kandung tinggal ibu lumpuh di hotel bajet

KUALA LUMPUR: Menitis air mata seorang ibu yang lumpuh apabila menyedari dirinya ditinggal terbiar oleh anak tunggalnya di sebuah hotel bajet di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru, di sini, sejak empat hari lalu.

Dia kini dijaga kakitangan hotel berkenaan yang membantunya menguruskan diri termasuk mandi dan mengganti lampin pakai buang selepas anaknya gagal dikesan.

Warga emas itu mulanya tinggal bersendirian di kampungnya di Johor, tetapi sejak sebulan lalu anaknya yang masih bujang membawanya ke ibu kota.

Faridah Maulud, 66, yang keseorangan ditemui pekerja hotel dalam keadaan meniarap di lantai ketika memeriksa bilik disewa anaknya selepas lelaki berusia 27 tahun itu gagal menjelaskan bayaran empat hari hingga menimbul tanda tanya kepada pengurusan hotel.

Ketika ditemui Harian Metro semalam, warga emas itu kelihatan lemah dan tidak bermaya serta berkali-kali memaklumkan dia ingin ke rumah kebajikan kerana tidak mahu menyusahkan staf hotel yang membantunya.

Sumber | Hmetro 


Penjelasan anak tinggal ibu lumpuh di hotel bajet

KUALA LUMPUR: “Emak saya bang, takkan saya tak sayang. Apapun yang berlaku, sebagai anak saya mohon ampun dan maaf dengan apa yang terjadi. Hanya Tuhan yang tahu perasaan saya ketika ini, saya harap mak memahaminya,” kata Amir Mohd Omar, 27, anak Faridah Maulud, ibu yang ditinggalkan di sebuah hotel bajet di sini sejak 3 Mac lalu.

“Saya buntu dan seperti tenggelam punca kerana dalam hati tidak terlintas langsung untuk menyusahkan ibu seperti itu.

“Kejadian ini menyebabkan saya dihubungi sanak-saudara yang selama ini tidak tahu kedudukan sebenar saya walaupun sudah lima tahun menetap dan bekerja di ibu negara. Ada yang memberikan reaksi positif dan ada yang menyalahkan saya sebagai punca semua ini berlaku.

“Namun, saya buat begini kerana sayangkan mak dan mahu dia selesa. Kalau mampu, sudah tentu saya tempatkan dia di rumah sendiri kerana selama ini kami berkongsi susah dan senang,” katanya ketika bersetuju bertemu wakil Harian Metro selepas beberapa kali dihubungi, semalam.

Harian Metro berusaha mencarinya sejak pagi dengan mendapatkan nombor telefon Amir daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pengusaha hotel. 
 
Sumber | Hmetro


Kasih ibu pada anak

KUALA LUMPUR: “Saya tahu dia tak berniat nak tinggalkan saya. Selepas ini, saya nak tinggal dengan dia kerana hanya dia yang saya ada di dunia ini. Terima kasih kepada semua, dapat jumpa dia (anak),” kata Faridah Maulud ketika dipertemukan dengan anaknya buat pertama kali semalam sejak ditinggalkan 10 hari lalu.

Dalam pertemuan penuh sayu itu, kedua-dua mereka dilihat tidak berenggang dengan sesekali anaknya, Amir Mohd Omar, 27, menyeka air mata di pipi ibu berusia 66 tahun itu sambil menerangkan dia tidak meninggalkan ibunya sendirian, tetapi terpaksa berbuat demikian atas faktor kesihatan.

Menafikan anaknya sengaja berbuat demikian, Faridah berkali-kali menyatakan yang dia tahu anaknya mengalami masalah kesihatan dan dia sendiri bersetuju untuk dibawa ke sebuah hotel berhampiran Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi memudahkan mereka berdua menerima rawatan.

“Dia ada beritahu saya yang dia nak ke hospital, jadi lebih elok saya ikut dia ke sana kerana takut tinggal berseorangan di rumah di Wangsa Maju kerana baru-baru ini ada kes pergaduhan di situ.
BINCANG...(dari kiri) Noormah bersama Faridah dan Amir, semalam
“Cumanya, saya tidak tahu ke mana dia pergi selepas tiga hari tak muncul, tapi dia ada tinggalkan sedikit wang untuk membeli makanan. Hari ini baru dapat jumpa,” katanya ketika ditemui semalam.

Pertemuan itu diadakan hasil inisiatif Harian Metro dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKMWPKL) diketuai pengarahnya, Noormah Abd Rauf.

Sebelum itu, Amir hadir ke pejabat JKM WPKL di sini untuk memberi penjelasan kepada Noormah berhubung tindakannya meninggalkan ibu itu bersendirian sehingga membawa kepada laporan polis yang dibuat penyelia hotel itu pada 8 Februari lalu. Selepas itu, dia di bawa ke Pusat Sehenti Bina Diri di Sungai Buloh untuk bertemu ibunya dan berbincang mengenai kewajaran untuk mengambil semula wanita berkenaan tinggal bersamanya dalam waktu terdekat.

Sebaik melihat kelibat anak tunggalnya itu, Faridah tidak henti-henti menangis dan terpaksa ditenangkan Noormah seketika sebelum perbincangan lanjut mengenai status terkini dirinya.

“Saya hendak tinggal dengan dia kerana dia anak saya. Kalau dapat nanti, saya ingin mengajar al-Quran seperti di kampung sebelum ini. “Saya baca artikel mengenai diri saya, tapi saya tahu anak saya buat yang terbaik untuk saya. Mungkin lebih baik di hotel berbanding di rumah kerana saya tinggal seorang, di hotel orang ramai,” katanya.
DARI HATI KE HATI...Amir terkaku mendengar luahan ibunya, Faridah yang ditemui kali pertama selepas mereka terpisah 10 hari
Sementara itu, Amir berkata, dia bersyukur kerana akhirnya dapat bertemu ibunya dan berterima kasih kepada semua pihak termasuk JKM yang membantu menjaganya sepanjang tempoh itu.

Katanya, ketika ini, fokusnya hanyalah untuk mencari pekerjaan baru selepas berhenti sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat swasta di ibu negara petang kelmarin.

Sumber | Hmetro 


Anak Tinggalkan Ibu Di Hotel Bajet Kini Mendapat Tawaran Kerja, Kereta Dan Rumah

by Admin on March 16, 2012

KUALA SELANGOR: “Saya akan mulakan hidup baru dengan emak di sini dan berharap dengan kerja baru ini, saya dapat membalas jasanya,” kata kata Amir Mohd Omar, 27, pemuda yang terpaksa meninggalkan ibunya, Faridah Maulud, 66, di sebuah hotel bajet, di Jalan Raja Muda di sini, minggu lalu.
Amir berkata demikian selepas menerima pekerjaan ditawarkan seorang usahawan besi keluli, Datuk Jamhuri Abdul Rahman, 43, di Kuala Selangor, semalam selain turut disediakan kereta dan sebuah rumah yang sudah dibayar sewa setahun untuk dia tinggal bersama ibunya.
Menurut Amir, dia amat menghargai kesudian Jamhuri untuk mengambilnya bekerja serta menyediakan tempat tinggal bersama ibunya dan kemudahan itu sama sekali tidak pernah terlintas di fikirannya.
“Semuanya bagaikan mimpi. Saya tidak tahu hendak kata apa. Yang pasti, tumpuan saya sekarang hanyalah untuk membawa mak tinggal bersama.
“Selain itu, saya juga akan bekerja dengan sebaik mungkin bagi membalas kepercayaan majikan yang memberi peluang kepada saya,” katanya ketika mengadakan pertemuan bersama Jamhuri di sini yang diatur Harian Metro, semalam.
Kisah Amir mendapat perhatian ramai selepas Harian Metro dalam laporannya 9 Mac lalu mendedahkan kisah ibunya yang lumpuh kebingungan apabila ditinggalkan bersendirian oleh Amir di sebuah hotel bajet selama empat hari hingga terpaksa dijaga kakitangan hotel berkenaan.

Berikutan laporan berita itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKMWPKL) membawa Faridah keluar dari hotel berkenaan dan menempatkannya di Pusat Sehenti JKM Sungai Buloh bagi membolehkan dia diberi penjagaan sewajarnya.
Persoalan mengenai tindakan Amir itu terjawab apabila Harian Metro berjaya menjejaknya dan dalam pertemuan dengan wartawan akhbar ini, Amir berkata dia bertindak sedemikian selepas hilang pertimbangan dan buntu berikutan masalah kesihatan dialaminya, selain tertekan dengan masalah kewangan berikutan pendapatannya sebagai pegawai pemasaran yang tidak seberapa.
Sehari kemudian, Harian Metro berjaya mempertemukan dua beranak itu di Pusat Sehenti JKM Sungai Buloh hasil kerjasama pengarah JKMWPKL, Noormah Abdul Rauf.
Sementara itu, Jamhuri berkata, dia terpanggil untuk mengambil Amir bekerja di kilangnya kerana mahu pemuda itu mengubah kehidupannya kepada yang lebih baik dan tidak mengabaikan ibunya.
Menurutnya, selepas membaca laporan Harian Metro minggu lalu dia menghubungi JKM untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Amir dan ibunya sebelum dihubungi wartawan bagi mengaturkan pertemuan.
“Saya berharap dengan peluang yang ada ini, Amir akan dapat mengubah tahap hidupnya selain menjaga ibu seperti dihajatinya,” katanya.

Harian Metro

No comments:

Post a Comment