BELANJAWAN 2012:KENAIKAN GAJI UNTUK KAKITANGAN AWAM
Kira-kira 1.2 juta penjawat awam bakal menerima kenaikan gaji
 antara tujuh hingga 13 peratus mulai tahun depan apabila perkara itu 
diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam 
pembentangan Bajet 2012 di Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan juga bersetuju meningkatkan kadar
 kenaikan gaji tahunan penjawat awam antara RM80 sehingga RM320 setahun 
mengikut gred ekoran ia tidak pernah disemak sejak 1991.
Bagi pesara pula, beliau berkata, lebih 
600,000 pesara kerajaan akan menikmati pelarasan pencen melibatkan 
peruntukan RM600 juta dan mulai tahun 2013 kerajaan akan melaksanakan 
kenaikan tahunan pencen pesara sebanyak dua peratus setahun tanpa perlu 
menunggu sebarang semakan sistem saraan atau pelarasan gaji.
Di dalam bajet kali ini, Najib turut 
mengumumkan had umur baru bagi persaraan wajib iaitu daripada 58 tahun 
kepada 60 tahun bagi mengoptimumkan sumbangan pegawai perkhidmatan awam.
“Pelanjutan ini tidak akan menjejaskan 
peluang pekerjaan kepada generasi muda kerana sektor awam dan swasta 
akan terus mewujudkan peluang pekerjaan baru,” ujar Perdana Menteri.
Selain itu, Najib juga mengumumkan 
bayaran bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500 kepada kakitangan 
awam yang akan dibayar pada bulan Disember ini selain bayaran khas RM500
 kepada semua pesara kerajaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana 
Menteri berkata, penyelarasan gaji serta kenaikan kadar kenaikan gaji 
tahunan itu merupakan salah satu daripada empat elemen Sistem Saraan 
Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang mula diperkenalkan dalam bajet tahun 
ini.
“SBPA merupakan satu sistem saraan baru 
yang akan menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) dan ia digubal 
dengan bermatlamat mentransformasi Perkhidmatan Awam Malaysia supaya ia 
menjadi organisasi yang lebih dinamik, responsif dan berorientasikan 
prestasi,” ujarnya.
Menghuraikan lebih lanjut tiga elemen 
lagi di dalam SBPA, Perdana Menteri berkata, kenaikan gred berdasarkan 
time-based (tempoh perkhidmatan) bagi guru akan dikurangkan daripada 
tahun ke-10 kepada tahun kelapan perkhidmatan.
Beliau berkata, ini bermakna seorang guru akan berada pada gred 44 pada tahun kelapan dan gred 48 pada tahun ke-16.
“Jika mengikut time-based sekarang ia memakan masa 10 tahun tetapi di bawah SBPA ia hanya mengambil tempoh lapan tahun sahaja,” katanya lagi.
Satu lagi elemen yang terdapat di dalam SBPA, beliau berkata, gaji maksimum dalam gred ditingkatkan lebih 30 peratus.
“Sebagai contoh di dalam SSM bagi 
seorang guru gred DG48 gaji maksimumnya adalah RM6,325.39 tetapi di 
dalam SPBA gaji maksimum akan meningkat 37.7 peratus. Dengan pertambahan
 itu jumlah gaji maksimum yang baru ialah RM8,710,” ujarnya.
Ujar Najib elemen terakhir di dalam SBPA
 ialah wujudnya dasar pemisah atau ‘exit policy’ bagi penjawat awam yang
 berprestasi rendah dan bagi mereka yang memilih untuk meninggalkan 
perkhidmatan.
 
No comments:
Post a Comment