Friday, March 11, 2011

JEPUN DILANDA TSUNAMI






           JEPUN DILANDA TSUNAMI SELEPAS GEMPA BUMI 8.9 MAGNITUD
TOKYO: Gempa bumi pada kadar 8.9 magnitud melanda Jepun awal petang tadi mengakibatkan tsunami hingga setinggi 10 meter melanda beberapa bandar kawasan pantai negara itu. Kejadian itu mengakibatkan banyak kes kecederaan, namun jumlah kes kematian masih belum diperolehi dari kawasan yang dilanda bencana di pulau Honshu.

Ombak setinggi 10 meter dilaporkan melanda Sendai di timur laut Miyagi, pulau Honshu mengakibatkan banyak kapal, kereta dan sisa runtuhan dihanyutkan ke kawasan bandar. Gempa bumi itu mengakibatkan gegaran kuat bangunan di Tokyo yang dihuni 30 juta penduduk.
Sekurang-kurangnya enam kes kebakaran dilaporkan di Tokyo akibat gempa selain menyebabkan sistem subway dihentikan, siren kecemasan dibunyikan dan orang ramai berpusu-pusu keluar dari bangunan.

Kepulan asap dikesan membabitkan sekurang-kurangnya 10 lokasi di bandar raya itu di mana lebih empat juta kediaman terputus bekalan elektrik selain beberapa kawasan ditenggelami air termasuk kawasan letak kereta Disneyland Tokyo.

Gempa bumi berlaku pada jam 2.46 petang (0546 GMT) selama dua minit dengan gempa pertama kira-kira 400 kilometer di timur laut Tokyo, menurut US Geological Survey.
Ia diikuti beberapa gempa susulan antaranya sekuat 7.1 magnitud.
Perdana Menteri, Naoto Kan memanggil sidang Kabinetnya sejurus dilanda gempa dan kerajaan Jepun menghantar kapal tentera lautnya dari Tokyo ke kawasan yang paling teruk di timur laut Miyagi.
Jepun terletak di atas Lingkaran Api Pasifik dan turut mempunyai titik gunung berapi di mana Tokyo terletak di antara kawasan paling berbahaya. Amaran tsunami turut dikeluarkan kepada Taiwan, Russia dan Kepulauan Mariana, kata Pusat Amaran Tsunami Pasifik. – Agensi